KUTBAH JUMAAT 25/2/2011
>> Friday, February 25, 2011
TAJUK: SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM.
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang jumaat yang dikasihi sekelian, marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah swt ialah orang yang paling bertaqwa. Kerana taqwa merupakan penentu martabat kita disisi Allah swt. Istiqamahlah dalam mengamalkan segala perintah Allah swt dan ajaran Rasulullah saw dengan mentaati Allah dan Rasulnya, insyaallah kita akan disayangi dan di jauhkan dari mala petaka serta beroleh kejayaan samada didunia mahu pun di akhirat nanti.
“islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali dagang pula, maka beruntunglah orang-orang yang asing.”
Hadis ini jelas menyatakan bahawa islam yang bermula dengan dagang (asing) akan menjadi dagang diakhir zaman nanti. Sejarah telah menukilkan bahawa perkembangan islam di peringkat awal juga asing. Islam sentiasa menghadapi kesukaran dan mendapat tentangan yang berpanjangan. Berkat ketabahan, kekentalan, kegigihan dan keyakinan para pendakwah atau da’I serta dengan izin Allah, islam telah berkembang sehingga menjadi kuasa dunia yang hebat pada era kegemilangannya. Islam telah Berjaya melahirkan insan yang berperibadi mulia, mempunyai jati diri unggul dan berwibawa. Ketika itu wujud keadilan, kejujuran, ketulusan, ketenteraman, keharmonian, kedamaian dan ketenangan. Namun selaku manusia mereka juga menghadapi pelbagai ujian, godaan nafsu dan kelemahan diri disamping serangan fitnah, khianat dan dengki sesama sendiri sehingga umat islam jatuh,tamadun islam runtuh sehinggalah sekarang.
Namun Allah swt tetap melahirkan sekelompok insan mulia yang sentiasa istiqamah untuk membangun ummat bedasarkan syariatnya. Golongan ini sentiasa gigih menyebarkan islam supaya menjadi ikutan dan amalan manusia untuk mencapai kejayaan yang diredhai Allah swt. Pada masa yang sama wujud pula segolongan manusia yang menghadapi krisis nilai terhadap agama. Golongan ini bertanya;
Dalam situasi krisis nilai inilah golongan yang ingin mengembalikan islam ke persada keagungannya menghadapi segelintir umat islam yang meragui, mempertikai, meremeh dan buruk sangka terhadap orang islam. Pada masa yang sama mereka juga menghadapi orang kafir yang benci kepada islam.
“orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut millah (agama) mereka (yang telah terpesong itu)”.
Bukankah sebahagian besar umat islam telah mempelajari islam sejak kecil, dari tadika,, sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi samada di masjid, surau dan di tempat-tempat kerja turut mengadakan kuliah-kuliah agama. Media masa turut menyiarkan rancangan atau maklumat berunsur islam. Para pendakwah sentiasa member ingatan. Ibu bapa juga telah member teguran. Anggota masyarakat turut memainkan peranan. Sedangkan kecelaruan masih berterusan. Inilah isu yang patut difikir dan perlu diselesaikan.
Mengapa keadaan ini masih wujud?. Apakah segala sistem pembelajaran, maklumat dan penyampaian selama ini tidak berkesan, tersilap atau tidak mencapai sasarannya?. Atau islam hanya disampaikan secara sambil lewa tanpa menekankan ia adalah satu cara hidup yang sempurna!. Mengapa masih terdapat dikalangan umat islam yang kuat berpegang serta yakin kepada panduan ciptaan manusia berbanding panduan yang diturunkan oleh Allah swt yang telah di sampaikan oleh Rasulullah saw?. Sedangkan pada masa yang sama mereka mengakui kesempurnaan ajaran Allah swt. Ini yang dikatakan salah faham terhadap islam, keliru, terpesong dan sekular atau sesat wal iyya zubillah.
Salah faham terhadap islam ini wujud kerana pada masa yang sama segala kebaikan berlaku, pelbagai keburukan juga terjadi. Kebaikan dan kejahatan tadi dilakukan oleh orang yang sama, penganjur yang sama dan penguasa yang sama. Pada satu waktu mereka adakan majlis tahlil, bacaan yasin dan doa selamat, tetapi selepas itu mereka juga yang menganjurkan majlis maksiat yang mendedahkan aurat atau seseorang pada suatu ketika melakukan kebaikan tetapi pada ketika lain berada ditempat yang ada unsur-unsur kemungkaran.
Lebih menyedihkan lagi bila seseorang pada satu-satu waktu amat bercakap tentang kebaikan dan kesempurnaan peraturan islam tetapi pada masa yang sama ia juga sedang mengingkari peraturan Allah. Mereka mampu menyatakan bahawa syarist islam itu baik dan sempurna, tetapi pada masa yang sama ia menyatakan riba’ itu harus kerana maslahat ummah. Mereka berhujah kalau tak terlibat dengan riba’ bagaimana nak dapat pinjaman, nak dapat modal dan meneruskan kegiatan, ini sangat mengelirukan.
Maka segala salah faham, kekeliruan dan kekaburan tentang penghayatan syariat islam yang syumul ini perlu diperbetul dan diperangi habis-habisan. Setiap insan muslim yang mencintai kebenaran dan mahu melihat syariat islam terlaksana mesti sanggup melakukan jihad yang berterusan kearah memberikan teguran, nsihat dan pandangan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Contohnya kehebatan peribadi Rasulullah saw serta para sahabat baginda dalam mengamal dan mempertahankan segala syariat Allah swt.
Oleh itu, marilah kita kembali menghayati, melaksana dan mengamalkan segala tuntutan islam sebenar berpandukan kepada al-quran dan sunnah. Insyaallah, kita akan selamat dan sentiasa di bimbing oleh Allah swt kejalan yang diredhainya.
Firman Allah SWT di dalam al-quran An-Nisa' 69-70 yang bermaksud:-
“ sesiapa yang mentaati Allah dan rasulnya, maka mereka akan (ditempatkan disyurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-Nabi, para siddiqin, para syuhada’ (orang yang mati Syahid) dan orang yang soleh; serta mereka itulah teman yang sebaik-baiknya”. “yang demikian itu adalah kurniaan daripada Allah. Cukuplah Allah yang maha mengetahui (akan balasan pahalanya)”.